Kebaikan, keburukan teknologi maklumat

Kebaikan, keburukan teknologi maklumat




Teknologi maklumat merupakan teknologi yang telah banyak merubah hidup manusia. Teknologi pada dasarnya dalah untuk memudahkan sesuatu. Jika teknologi ini digunakan dengan niat yang betul maka akan membawa manfaat dan kesejahteraan hidup, tetapi jika disalahgunakan maka akan membawa kepada perkara-perkara yang sia-sia dan yang merugikan.
Tidak dinafikan teknologi maklumat dan komunikasi mempunyai banyak kelebihannya, antaranya kita boleh memperolehi ilmu dan maklumat dengan mudah dan cepat. Selain itu, kita juga boleh berhubung antara satu sama lain, melakukan tranksaksi perbankan, membuat pembayaran seperti membayar bil-bil dan banyak lagi kemudahan yang boleh kita dapat melalui internet. Melihat kepada manfaat teknologi maklumat, kita hendaklah celik dan peka terhadap penggunaannya kerana kemudahan tersebut menawarkan maklumat dan ilmu yang sangat banyak dan Islam sememangnya juga menghendaki umatnya untuk sentiasa menimba dan meningkatkan ilmu pengetahuan.
Namun tidak dinafikan teknologi maklumat seperti internet juga mempunyai keburukan dan kesan teknologi yang boleh mempengaruhi fikiran dan minda, boleh merosakkan moral dan akhlak, boleh menjejaskan keselamatan awam dan negara dan lebih buruk lagi boleh menggugat akidah umat Islam. Ini kerana melalui internet seseorang itu boleh sahaja mendapatkan maklumat yang berkemungkinan tidak betul atau kurang tepat berkenan sesuatu perkara. Selain itu, terdapat juga perisian atau laman web di internet itu mempunyai unsur yang tidak beretika dan tidak bermoral seperti paparan gambar pornografi, penyebaran fahaman yang bertentangan dengan agama Islam, perjudian dan sebagainya. Tidak kurang juga terdapat pihak yang melakukan penipuan dalam urusan jual beli melalui internet.
Sudah menjadi trend pada masa ini ramai orang menggunakan laman sosial sebagai tempat untuk berhubung. Ini kerana mereka dapat berkomunikasi dengan keluarga dan teman dengan mudah dan secara tidak langsung dapat mengeratkan perhubungan yang baik sesama mereka, bahkan penggunaan komunikasi melalui kemudahan tersebut juga adalah lebih senang dan cepat. Selain itu, mereka juga dapat mencari kenalan sama ada dalam dan di luar negara. Namun terdapat juga keburukan di sebalik kemudahan tersebut kerana tidak mustahil terdapat di antara pengguna yang menjadikannya sebagai tempat untuk menyebarkan fitnah, mengutuk dan menghina, mendedahkan rahsia dan keaiban diri sendiri dan orang lain dan sebagainya. Semua perbuatan tersebut adalah berdosa dan dilarang oleh agama Islam. Ketahuilah juga bahawa perbuatan memfitnah adalah lebih buruk dan dahsyat oleh agama Islam. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Baqarah, ayat 191 tafsir-Nya: “Dan ingatlah bahawa angkara fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.”
Ketahuilah bahawa kesan negatif akibat penyalahgunaan internet bukan sahaja membahayakan pengguna yang terdiri dari orang dewasa, bahkan juga kepada kanak-kanak. Tidak dinafikan kanak-kanak juga banyak menggunakan kemudahan internet untuk mendapatkan ilmu dan maklumat, belajar secara interaktif, melayari laman sosial dan bermain game. Kemudahan ini secara tidak langsung mendedahkan mereka kepada bahaya kerana tidak mustahil mereka juga boleh melayari laman web yang tidak baik untuk mereka. Kita tahu dan sedar bahawa fikiran anak-anak yang belum matang akan mudah percaya pada setiap maklumat yang diperolehinya melalui internet dan lebih buruk lagi jika mereka terpengaruh untuk melakukan sesuatu yang tidak elok dan tidak baik sehingga boleh menjejaskan minda, akhlak dan tingkah laku mereka. Ini kerana mereka boleh melihat perkara yang tidak baik melalui internet seperti adegan yang tidak senonoh, adegan ganas, black metal dan sebagainya.
Apa yang menakutkan kita ialah kanak-kanak juga boleh terdedah kepada bahaya yang boleh menjejaskan keselamatan mereka. Perlu diketahui bahawa pada masa ini terdapat pemangsa yang mencari mangsanya yang terdiri dari kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun dengan tujuan yang tidak baik seperti rogol, culik, perdagangan manusia dan sebagainya. Oleh itu, sebagai ibu bapa kita hendaklah sentiasa memantau dan mengambil tahu aktiviti anak-anak ketika melayari internet. Kita hendaklah mengetahui dengan siapa anak kita berkawan. Sememangnya kita tidak akan dapat memantau sepenuhnya aktiviti anak-anak, lebih-lebih lagi kemudahan intenet bukan sahaja boleh diperolehi melalui komputer di rumah, tetapi juga di luar rumah kerana terdapat banyak tempat yang menawarkan kemudahan wi-fi terutamanya café dan kedai-kedai makan dan mereka juga mudah mengakses internet melalui telefon bimbit dan sebagainya. Namun perlu ibu bapa hendaklah sentiasa berusaha mendekati anak-anak mereka dengan memberi bimbingan dan kesedaran terhadap bahaya dan implikasi negatif terhadap penyalahgunaan internet, memberi nasihat dan teguran secara berterusan, mengajar cara-cara untuk membezakan antara yang benar dan salah yang bermanfaat dan sia-sia. Ibu bapa hendaklah juga memberikan pendidikan agama dan menerapkan pembentukan akhlak yang mulia ke dalam jiwa anak-anak. Anak-anak yang dididik dengan ajaran Islam akan dapat memelihara diri mereka diri melakukan perkara yang berdosa dan melanggar hukum Islam.
Selain itu, ibu bapa juga perlu tegas mendidik anak-anak untuk menggunakan internet bagi tujuan yang baik dan bermanfaat sahaja, mengatur masa dengan bijak kerana tidak dinafikan mereka mudah terlalai dan leka ketika melayari internet sehingga tidak perasan bahawa mereka telah melayari internet hingga bejam-jam lamanya. Bagi anak-anak yang masih bersekolah sudah tentu perbuatan tersebut akan menjejaskan prestasi akademik kerana akibat leka melayari internet boleh menjejaskan masa anak-anak untuk belajar bahkan juga boleh menyebabkan kesihatan anak-anak terganggu. Tidak dinafikan juga terdapat anak-anak yang lebih gemar menghabiskan masa untuk melayari internet berbanding melakukan aktiviti fizikal di luar rumah seperti bersukan, memancing dan sebagainya. Perbuatan tersebut kurang sihat bagi pertumbuhan fizikal dan mental anak.
Kita hidup di zaman ini merasa kagum dengan perkembangan internet sehingga maklumat dan komunikasi dapat dilakukan dengan mudah, cepat dan jimat. Namun kita perlu sedar juga bahawa perkembangan tersebut turut membawa perubahan kepada hidup kita, seperti cara bersosial, berkomunikasi dan sebagainya. Selain itu, kita hendaklah juga sentiasa berwaspada dan berhati- hati terdapat pihak yang sentiasa cuba untuk merosakkan akhlak dan minda serta akidah umat Islam. Kita sebagai ibu bapa, penjaga, guru dan masyarakat wajib melindungi kanak-kanak dengan sentiasa memberi bimbingan dan nasihat kepada mereka akan etika ketika melayari internet
.

Comments

Popular Posts