Teknologi Pendidikan Malaysia


LATAR BELAKANG

Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) sebelum ini dikenali sebagai Bahagian Perkhidmatan Sebaran Pendidikan sehingga tahun 1988, apabila fungsinya diperluas bagi merangkumi perkhidmatan pusat sumber sekolah dan sesuai dengan kedudukan dan peranannya sebagai satu badan yang menyelaras semua program dan aktiviti yang berkaitan dengan teknologi pendidikan. Bermula dengan hanya empat fungsi utama, iaitu perkhidmatan alat pandang-dengar (tahun 50-an), perkhidmatan siaran radio ke sekolah-sekolah (tahun 60-an), perkhidmatan siaran TV Pendidikan ke sekolah-sekolah (dilancarkan dengan rasminya oleh YAB Tun Haji Abdul Razak bin Dato’ Hussein, Perdana Menteri Malaysia pada 19 Jun 1972) dan perkhidmatan sumber pendidikan. Pada tahun 2002, BTP telah berkembang kepada 11 sektor dan lapan (8) fungsi utama apabila penggunaan teknologi pendidikan berfokus kepada ICT dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dan pengurusan sekolah.
Dengan terlaksananya Projek Rintis Sekolah Bestari pada tahun 1999, iaitu salah satu (1) daripada tujuh (7) aplikasi perdana dalam Koridor Raya Multimedia, BTP terus meneraju transformasi generasi bestari melalui program Pembestarian Sekolah. Pada 21 April 2006, BTP telah menerima pengiktirafan MS ISO 9001:2000 Quality Management Systems-Requirements. Sistem ini dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan dan produk yang dihasilkan oleh BTP mempunyai standard kualiti yang dikehendaki. Pembangunan kapasiti dan peningkatan kualiti pengurusan instruksional menerusi pembudayaan teknologi pendidikan menjadi misi penting BTP. Peranannya kini bukan sekadar menyelaras tetapi mengalakkan pengintegrasian pelbagai media dan teknologi pendidikan secara terancang bagi mengukuhkan proses pengajaran dan pembelajaran selaras dengan moto ‘Teknologi Untuk Pendidikan Bestari'.

VISI

Meneraju transformasi generasi bestari melalui teknologi pendidikan.

MISI

Pembangunan kapasiti dan peningkatan kualiti pengurusan instruksional menerusi pembudayaan inovasi teknologi pendidikan.

OBJEKTIF

  1. Membudayakan penggunaan ICT dalam pendidikan bagi peningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, keberkesanan pengurusan dan pentadbiran sekolah serta kompetensi guru yang berterusan.
  2. Memberi khidmat-bantu kepada murid dan guru dalam penggunaan teknologi pendidikan.
  3. Mencari alternatif-alternatif baru teknologi pendidikan yang sesuai bagi kegunaan murid dan guru.
  4. Membangunkan bahan teknologi pendidikan yang berkualiti bagi meningkatkan akses sumber ilmu kepada murid dan guru.
  5. Meningkatkan kecekapan pengurusan dan kemudahan pusat sumber bagi menyokong peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

FUNGSI

  1. Merancang, memantau, menilai dan mengurus keperluan dasar teknologi pendidikan.
  2. Merancang dan menyelaras hala tuju inisiatif ICT pendidikan dan menyediakan sokongan perkhidmatan ICT.
  3. Merancang, memantau, menyelaras dan menilai pelaksanaan dan keberkesanan pembestarian sekolah.
  4. Merancang, menyediakan dan menerbitkan bahan pengajaran dan pembelajaran dalam pelbagai media.
  5. Merancang, menyelaras, menilai dan memantau pengurusan dan pembangunan pusat sumber sekolah dan program literasi maklumat.
  6. Menyebarkan bahan pengurusan pendidikan serta pengajaran dan pembelajaran yang diterbitkan melalui pelbagai medium elektronik dan media cetak.
  7. Memantau dan menilai penggunaan teknologi pendidikan dalam pengajaran, pembelajaran dan pengurusan sekolah.
  8. Menyediakan khidmat kepakaran dan nasihat bagi mempertingkatkan inovasi dan kreativiti teknologi pendidikan di sekolah.

Comments

Popular Posts